Thursday, 20 October 2011

Isu Tuntutan Kristian berkenaan kalimah Allah

Isu  ini adalah suatu isu yang lama tetapi memasuki sebuah episod  yang   baru, khususnya di Malaysia. Memang benar, pelbagai pandangan    diutarakan dengan melihat dari pelbagai sudut. Secara asasnya, apa yang    paling penting adalah, prinsip Islam itu sendiri dalam menilai isu    sebegini.

Memang benar, berdasarkan pengamatan dari   segenap aspek, baik dari  hujah mereka yang membenarkan mahupun hujah   mereka yang melarang,  kesimpulan umum yang dapat dibuat adalah, ianya   lahir (samada  bersetuju atau menolak) daripada hujah-hujah yang zhonniyyah atau tidak muktamad.

Namun,   ketika berhadapan dengan sesuatu isu setempat, pendirian  seseorang  ahli  ilmu atau ulama’ selalunya dibina atas timbangan  keilmuan yang  teliti,  setelah melihat segenap sudut yang perlu  diperhatikan  termasuklah maslahat sesebuah masyarakat Islam di  tempat  tersebtu. Oleh yang demikian, dalam  isu penggunaan kalimah  “Allah” bagi  orang-orang Kristian, pendirian  seseorang ahli ilmu itu  hanyalah  berbentuk tarjih (menguatkan salah satu pendapat) setelah menilai isu ini dari pelbagai sudut.

Penggunaan Kalimah Allah dan Toleransi Beragama

Agama   Islam merupakan suatu agama yang murni. Ia merupakan suatu  agama   kebenaran berdasarkan pelbagai bukti-bukti dalam setiap sudut    pembuktiannya. Allah s.w.t. yang merupakan Tuhan Semesta Alam ini lagi    Maha Esa dalam kerajaanNya, telah memilih Islam sebagai satu-satunya    agama yang diredhai di sisiNya.

Allah s.w.t. mengakui   kebenaran Islam bahkan mengiktiraf hanya  Islam sebagai suatu kebenaran   dan hanya Islam merupakan agama yang  benar yang mengandungi segala   ajaran yang benar dalam segenap sudut  samada dari sudut aqidah,   hukum-hakam dan akhlak. Berdasarkan ajaran  Islam juga, hanya dengan   aqidah murni Islam sahaja, seseorang dapat  selamat daripada api neraka.

Walaupun   Islam memberi kebebasan beragama kepada sesiapa sahaja  dari kalangan   orang-orang kafir, namun Islam tetap mengajak umat  manusia kepada   menerima ajaran Islam yang murni dan tidak pernah  mengiktiraf   agama-agama mereka sebagai kebenaran. Ini kerana, hanya  Islam sahaja   merupakan agama yang boleh menjamin kesejahteraan manusia  di dunia dan   di akhirat.

Hakikatnya jelas dalam agama Islam, selain daripada prinsip busyra (khabar gembira) yang terkandung dalam dakwah Islamiyyah, dalm masa yang sama juga ianya mempunyai dasar inzhar (memberi peringatan). Selain daripada Islam menceritakan tentang    kebahagiaan yang bakal manusia kecapi jika memilih Islam, Islam juga    menjelaskan suatu hakikat di mana manusia bakal memperolehi siksa api    neraka yang kekal di akhirat jika tidak mahu memilih Islam sebagai agama    mereka di dunia.

Walaupun secara asasnya, elemen terpenting dalam dakwah Islam adalah secara hikmah dan mau’izhoh hasanah (mengajak dengan cara yang baik), namun Islam menolak segala bentuk tasammuh (toleransi) kepada orang-orang kafir yang membawa kepada penolakan terhadap prinsip-prinsip Islam yang murni.

Penggunaan Kalimah ALLAH Menurut Islam

Kalimah   ALLAH s.w.t. adalah merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa,  Maha Agung  lagi  Maha Sempurna. Kalimah ALLAH dalam Islam merujuk  kepada zat Tuhan  yang  bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan  keesaan.

Dalam   Islam, kalimah “ALLAH” bukan sekadar suatu kata nama, tetapi   merangkumi  konsep ketuhanan yang bersifat dengan kesempurnaan dan   keesaan. Maka,  apabila kita berkata bahawasanya, Tuhan yang kami sembah   adalah Allah,  bererti, Allah s.w.t. yang disembah tersebut bersifat   dengan sifat-sifat  yang telah disebutkan terutamanya aspek kesempurnaan   dan keesaan-Nya.

Kalau seseorang berkata: “Saya menyembah Allah” tetapi yang dimaksudkan adalah tuhan yang terdiri daripada tiga oknum atau salah satu daripada oknum tuhan trinity, maka ianya suatu yang menyalahi “dasar dan prinsip” Islam sebenar.

Allah   s.w.t. sendiri sudah menjelaskan bahawa kalimah “Allah”  adalah suatu   nama bagi merujuk kepada satu-satunya Tuhan yang Maha  Benar dengan   sifat-sifat yang disebutkan. Iaitu:-

Allah s.w.t. berfirman:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (1) اللَّهُ الصَّمَدُ (2) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (3) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ (4)

Maksudnya: Katakanlah: "Dia-lah Allah, yang Maha Esa. (1) Allah    adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. (2) Dia tiada    beranak dan tidak pula diperanakkan, (3) Dan tidak ada seorangpun  yang   setara dengan Dia." (Surah Al-Ikhlas: 1- 4)

Ayat  ini  merupakan pendirian Islam yang jelas menunjukkan Islam  menolak  sebarang  kepercayaan tentang sesuatu tuhan selain daripada  Allah  s.w.t.. Malah,  Islam menegaskan sifat-sifat Tuhan yang bernama  ALLAH  tersebut adalah:

- MAHA ESA (Al-Ahad)

- AS-SHOMAD (Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu)

- Tidak beranak dan tidak diperanakkan.

- Tidak ada yang serupa denganNya.

Daripada   penjelasan surah Al-Ikhlas ini menunjukkan secara jelas  tiada agama   lain selain Islam yang boleh menamakan tuhan mereka  sebagai “ALLAH”   menurut agama Islam termasuklah agama Kristian kerana  hanya agama Islam   yang menjelaskan konsep aqidah tauhid yang murni  ini.

Adakah   “Allah” yang ingin dimaksudkan oleh orang-orang  Kristian bersifat   dengan keseluruhan sifat-sifat yang telah disebutkan  dalam surah   Al-Ikhlas tersebut? Kalau tidak, maka Islam  secara jelas  menolak  kepercayaan mereka tentang “Allah” dalam versi  aqidah mereka  yang salah  tersebut. Adakah prinsip ajaran Islam yang  menolak  kepercayaan trinity orang-orang Kristian tentang  ketuhanan  “Allah” dalam masa yang sama  tidak menolak penggunaan nama  yang benar  kepada konsep yang salah?

Agama Kristian merupakan agama yang mengajar manusia mempercayai ketuhanan Trinity (Trinitas) sedangkan ALLAH s.w.t. bukanlah tuhan bersifat Trinity yang    bercanggah dengan sifat ketuhanan pertama yang disebutkan dalam surah    Al-Ikhlas tadi dan bukan juga salah satu daripada tiga oknum tuhan trinity orang-orang Kristian kerana bercanggah dengan sifat ketuhanan ketiga yang disebutkan dalam surah Al-Ikhlas tadi.

Oleh   sebab itulah, apabilah kita membaca penerangan para ulama’  tentang   kalimah “Allah”, ianya mengandungi sifat-sifat kesempurnaan  dan keesaan.

Imam As-Syirbini dalam Tafsir As-Siraj Al-Munir menafsirkan kalimah ALLAH dalam surah Al-Ikhlas tersebut dengan berkata:

الذي ثبتت إلهيته وأحديته

Maksudnya: “ALLAH ialah Tuhan yang bersifat dengan ketuhanan dan keesaanNya.

Dalam erti kata yang lain, kepercayaan ketuhanan yang tidak berdasarkan “tauhid” (keesaan) termasuklah kepercayaan ketuhanan trinity Kristian bukanlah merujuk kepada Allah s.w.t..

Imam Al-Khazin berkata:

(   الله ) هو اسم علم خاص لله تعالى تفرد به الباري سبحانه وتعالى ليس  بمشتق   ولا يشركه فيه أحد وهو الصحيح المختار دليله قوله تعالى ' هل تعلم  له  سميا '  يعني لا يقال لغيره الله

Maksudnya:

((ALLAH)) ialah kata nama khusus bagi Allah yang hanya khusus untukNya s.w.t..  Ia (nama) itu bukan terbit dari mana-mana kata terbitan dan  tidak ada sesiapa berkongsi nama tersebut denganNya. Inilah pegangan yang sahih dan terpilih. Dalilnya adalah firman Allah: “Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia (yang patut disembah)?” iaitu: tidak dikatakan kepada selainNya dengan nama ALLAH...” [Tafsir Al-Khazin pada tafsir Surah Al-Fatihah]

Sheikh Muhammad Ali As-Shobuni ketika menjelaskan tentang kalimah ALLAH dalam Shofwah At-Tafasir pada surah Al-Fatihah berkata:

((ALLAH)) Suatu nama khusus bagi Zat Maha Agung yang mana tidak ada yang berkongsi nama tersebut denganNya” [1/18]

Sheikh Sa’id bin Muhammad dalam Busyro Al-Karim menjelaskan bahawasanya Lafz Al-Jalalah (ALLAH) tidak boleh dinamakan kepada selainNya (Tuhan yang disembah oleh orang-orang Islam)… [m/s 3]

Sheikh Sa’id Hawa dalam kitab Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah pada menjelaskan zikir dengan Ism Mufrad berkata:

الاسم الوحيد الذي يدل على الله ذاتاً وصفات وأسماء وأفعالاً، بينما غيره يدل على ذات وصفه، ثم هو لا يسمى به غيرالله

Maksudnya: “(Allah)   adalah satu-satunya nama yang merujuk  kepada segenap zat, sifat,   nama-nama dan perbuatan-perbuatan Allah  s.w.t.. Adapun nama-nama yang   lain merujuk kepada sifat-sifaNya.  Kemudian, nama ALLAH tersebut tidak dinamakan kepada selain ALLAH (Tuhan yang disembah oleh umat Islam).

Kalau   kita rujuk kepada tulisan-tulisan para ulama’ Islam, hampir  kesemuanya   tidak membenarkan lafaz ALLAH digunakan bagi merujuk kepada   tuhan-tuhan  lain selain Allah atau kepada konsep ketuhanan yang   bercanggah dengan  tauhid. Ini kerana, ALLAH bermaksud TUHAN yang MAHA   ESA dan ia sangat  berkaitan dengan konsep keesaan Tuhan itu sendiri.

Inilah   secara prinsip dalam Islam di mana tidak boleh menamakan  kepada   tuhan-tuhan selain Allah dengan nama Allah s.w.t.. Secara  dasarnya,   berdasarkan penerangan para kebanyakan ulama’ sendiri, kata  nama “Allah”   khusus untuk Allah s.w.t. yang disembah oleh orang-orang  Islam dengan   konsep ketuhanan yang murni (keesaan dan kesucian).

Allah s.w.t. berfirman:

Maka (Zat yang demikian) itulah Allah,   Tuhan  kamu yang sebenarnya; Maka tidak ada sesudah kebenaran itu,   melainkan  kesesatan. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan (dari   kebenaran)?” (Surah Yunus: 32)

Agama Kristian dan Lafaz ALLAH

Sememangnya   Allah s.w.t. ada menyebutkan kalimah ALLAH bagi  menceritakan tentang   aqidah agama Kristian namun dalam bentuk penafian  terhadap aqidah mereka   yang sesat, bukan dalam bentuk mengakui  penggunaan kalimah ALLAH bagi   merujuk kepada tuhan mereka.

Ini kembali kepada penggunaan mereka (orang-orang kafir termasuk ahlul-kitab)    yang hidup dalam masyarakat Arab yang juga menggunakan kalimah  “Allah”   bagi merujuk kepada tuhan yang menciptakan alam ini. Oleh  kerana Ahlul-Kitab yang hidup dalam masyarakat Arab yang  menggunakan kalimah “Allah” bagi   merujuk kepada Tuhan Maha Pencipta,  maka mereka juga menggunakan  kalimah  “Allah” bagi merujuk kepada Tuhan  Maha Pencipta.

Namun,   itu bukanlah tradisi asal orang-orang Kristian sebagaimana  dijelaskan   oleh orang-orang Krisitan sendiri. Menurut kebanyakan  cendikiawan   Kristian sendiri, mereka menyebut tuhan mereka sebagai El, Elohim atau Yahwah.

Asalnya, nama tuhan dalam Hebrew (bahasa asal Old Testement) adalah seperti berikut jika diterjemah ke dalam bahasa Inggeris: YHVH atau YHWH tanpa ada huruf vokal. Maka, sebahagian cendikiawan Kristian yang awal menetapkan sebutannya sebagai Yahweh.

Nama lain bagi tuhan sembahan mereka adalah Elohim dalam bahasa Hebrew. Ada juga yang menyebut tuhan mereka sebagai Jehovah. Ada juga menyebut Tuhan sebagai HaShem. Kemudian, bagi orang-orang Kristian, mereka merujuk kepada New Testament yang dikatakan berbahasa Yunani (Greek) lalu menyebut tuhan mereka dalam bahasa Greek iaitu “Ho Theos”.

Pada dasarnya, jika merujuk kepada Yahweh atau Elohim dengan konsep ketuhanan Tauhid yang menjadi asas aqidah ajaran agama Samawi,    ianya merujuk kepada Allah s.w.t. itu sendiri, dalam bahasa yang    berbeza. Namun, ketika konsep ketuhanan Tuhan tersebut difahami dengan    salah, lalu dinisbahkan pelbagai bentuk kesyirikan kepada konsep    ketuhanan tersebut, maka Islam tidak mengiktiraf konsep ketuhanan    tersebut sebagai ajaran para rasul terdahulu dan nama-nama tuhan    tersebut yang dipercayai dengan unsur-unsur kesyirikan sudah tidak lagi    merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa.

Walaupun ada ahli ilmu cuba mengaitkan kalimah “Allah” dalam bahasa Arab hampir dengan kalimah “Eloah” dalam bahasa Hebrew,    yang merujuk kepada Tuhan yang sama, namun dari sudut aqidah    orang-orang Islam dengan orang-orang Kristian, maka sudah jelas tuhan    mereka (Kristian) berbeza dengan Tuhan yang disembah oleh orang-orang    Islam.

Apakah konsep ketuhanan agama Kristianiti itu sendiri?

Orang-orang Kristian menyembah tuhan dalam bentuk trinity di  mana tuhan itu bukan Maha Esa seperti kepercayaan orang-orang Islam    dan bukan juga berbilang-bilang sebagaimana kepercayaan orang-orang    kafir. Mereka bertuhankan tuhan yang satu dalam tiga dan tiga dalam    satu. Bahkan, hampir tiada orang-orang Kristian yang mampu memahami    konsep trinity dengan kefahaman yang tepat kerana setiap orang mempunyai persepsi yang berbeza tentang konsep trinity mereka.

Pendek kata, orang-orang Kristian percaya bahawasanya tuhan adalah:

- TUHAN AYAH (Yahweh)
- TUHAN ANAK (Jesus/Nabi Isa)
- TUHAN ROH QUDS (Holy Spirit)

Ketiga-tiga   tersebut bukanlah tiga individu yang berbeza tetapi  satu tuhan yang   berbeza personalitinya. Ketiga-tiga (oknum) itu bukan  tiga tuhan tetapi   satu tuhan. Ada yang memperumpamakan ketiga-tiga ini  sebagai wap air,   air dan ais iaitu tiga bentuk yang berbeza bagi  personaliti yang sama.

Orang-orang Kristian berbelit-belit dalam memahami ketuhanan mereka sehingga tidak mampu merungkai konflik dalam memahami trinity lalu sebahagian ahli gereja cuba menamakan krisis memahami trinity sebagai “keajaiban ketuhanan”. Itulah istilah terbaik untuk menyembunyikan kesesatan aqidah mereka.

Kalimah ALLAH yang cuba digunakan oleh orang-orang Krisitian merujuk kepada yang mana satu?

Andaian Pertama:

Trinity adalah: Tuhan Ayah + Tuhan Anak + Tuhan Roh Quds = TUHAN (<span>Inilah</span> <span>ALLAH</span>)

Andaian Kedua:

Trinity adalah: Tuhan Ayah (Inilah ALLAH) + Tuhan Anak + Tuhan Roh Quds = TUHAN

Kalaulah   kalimah ALLAH merujuk kepada gabungan tiga oknum iaitu  TUHAN AYAH,   TUHAN ANAK dan TUHAN ROH QUDS, maka ia suatu yang jelas  ditolak oleh   Islam kerana kalimah ALLAH hanya merujuk kepada zat TUHAN  yang MAHA ESA   tanpa merangkumi tiga oknum tuhan yang menjadi teras  aqidah trinity Kristian.

Allah s.w.t. berfirman:

يَا   أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ وَلَا تَقُولُوا  عَلَى   اللَّهِ إِلَّا الْحَقَّ إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ  مَرْيَمَ   رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ  وَرُوحٌ مِنْهُ   فَآَمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلَا تَقُولُوا  ثَلَاثَةٌ انْتَهُوا   خَيْرًا لَكُمْ إِنَّمَا اللَّهُ إِلَهٌ وَاحِدٌ  سُبْحَانَهُ أَنْ يَكُونَ   لَهُ وَلَدٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا  فِي الْأَرْضِ وَكَفَى   بِاللَّهِ وَكِيلًا

Maksudnya: Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar.    Sesungguhnya Al Masih, Isa putera Maryam itu, adalah utusan Allah dan    (yang diciptakan dengan) kalimat-Nya yang disampaikan-Nya kepada   Maryam,  dan (dengan tiupan) roh dari-Nya. Maka berimanlah kamu kepada   Allah dan  rasul-rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga (trinity)", berhentilah (dari ucapan itu). (itu) lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah adalah Tuhan yang Maha Esa,    Maha Suci Allah dari mempunyai anak, segala yang di langit dan di  bumi   adalah kepunyaan-Nya. cukuplah Allah menjadi Pemelihara. (Surah An-Nisa’: 171)

Ayat ini secara jelas menunjukkan pendirian agama Islam yang menolak kepercayaan trinity dalam    konsep ketuhanan. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa Islam    secara jelas menolak penggunaan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada  suatu   jenis tuhan yang mempunyai intipati trinity ini.

Isyarat pertama daripada ayat ini di mana Allah s.w.t. menegaskan:

وَلاَ تَقُولُواْ عَلَى ٱللَّهِ إِلاَّ ٱلْحَقَّ

Maksudnya: “…janganlah kamu berkata terhadap Allah melainkan yang benar…”.

Daripada   ayat ini dapat difahami Allah s.w.t. tidak membenarkan  seseorang   berkata tentang “Allah” s.w.t. berkenaan kebatilan dan  kesesatan, apatah   lagi menamakan “Allah” kepada tuhan yang batil  sebagaimana difahami   oleh orang-orang Kristian.

Imam At-Tabari ketika menafsirkan perkataan (انْتَهُوا) “berhentilah…” dalam ayat tersebut dengan berkata:

فإن الانتهاء عن ذلك خير لكم من قِـيـله، لـما لكم عند الله من العقاب العاجل لكم علـى قِـيـلكم ذلك

Maksudnya:

Bahawasanya berhenti (orang-orang   Kristian)  daripada yang demikian (berkata Allah itu salah satu  daripada  trinity  atau trinity secara keseluruhan) lebih baik daripada  berkata   sedemikian, kerana bagi kamu (orang-orang Kristian) dari Allah   (terhadap  ucapan tersebut) siksa yang akan datang terhada apa yang   telah  dikatakan tersebut (iaitu Allah itu tuhan trinitas).”  [rujuk Tafsir At-Tabari pada ayat tersebut]

Imam At-Tabrani pula ketika menafsirkan perkataan firman Allah s.w.t. dalam ayat tersebut yang berbunyi:

وَلَا تَقُولُوا ثَلَاثَةٌ انْتَهُوا خَيْرًا لَكُمْ

Beliau berkata:

{   وَلاَ تَقُولُواْ ثَلاَثَةٌ }؛ أي تقُولُوا آلِهَتُنَا ثلاثةٌ: أبٌ؛    وابنٌ؛ وروحُ قدسٍ، { ٱنتَهُواْ }؛ عنِ الكُفْرِ، عن هذهِ المقالةِ،

Maksudnya: “((Jangan   kata tiga)) iaitu jangan kamu katakan  tuhan-tuhan kami tiga atau   trinity yang merangkumi: tuhan bapa, tuhan  anak dan roh quds.   ((Berhentilah)) dari kekufuran dan dari perkataan  tersebut (Tuhan itu   trinity).

Di sisi Imam At-Tabrani  juga menjelaskan  betapa ayat ini menjadi  isyarat jelas betapa Allah  s.w.t. menyuruh  mereka berhenti daripada  kekufuran mereka yang  mengatakan Allah itu trinity atau  berhenti daripada perkataan  mereka yang kufur tersebut. Ini secara   tidak langsung roh Al-Qur’an  mengajar kita agar tidak mengiktiraf   perkataan kekufuran mereka  tersebut.

Imam Al-Alusi juga menyebut dalam kitab Ruh Al-Ma’ani pada ayat tersebut pada perkataan Intahu:-

{ ٱنتَهُواْ } عن القول بالتثليث

Maksudnya: “Berhentilah daripada mengatakan Trinity…” [Ruh Al-Ma’ani]

Islam menolak konsep trinity dalam aqidah ketuhanan. Oleh  yang demikian, Islam secara tidak langsung   menolak seseorang merujuk  kalimah ALLAH kepada tuhan yang bersifat trinity sebagaimana yang disebutkan kerana menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan trinity adalah antara yang dicela oleh Allah s.w.t. daripada keseluruhan perkataan mereka tersebut.

Jika penggunaan kalimah ALLAH merujuk kepada andaian kedua iaitu:

Trinity adalah: Tuhan Ayah (Inilah ALLAH menurut mereka) + Tuhan Anak + Tuhan Roh Quds = Satu TUHAN

Maka:-

Kalimah ALLAH yang cuba digunakan merujuk kepada TUHAN AYAH (God The Father) dalam konsep trinity sememangnya juga disebut dalam Al-Qur’an bagi merujuk kepada “penggunaan mereka” terhadap istilah tersebut, namun, bukan kerana Islam meraikan istilah tersebut atau menerima konsep tersebut.

Kebanyakan   orang-orang Kristian memahaminya begitu, iaitu Allah  bagi mereka   merujuk kepada Tuhan Bapa atau Tuhan Ayah yang merupakan  salah satu   daripada tiga oknum tuhan trinity.

Memang  benar,  banyak ayat yang menceritakan bahawasanya orang-orang  Kristian  dan  Yahudi menjadikan Isa dan Uzair sebagai anak ALLAH dan  ALLAH  sebagai  Tuhan Ayah, namun ianya bukan menunjukkan Islam  mengiktiraf  penggunaan  istilah tersebut kerana istilah tersebut  merujuk kepada  penggunaan yang  telah lama digunakan oleh orang-orang  kafir dan ahlul-kitab sebelum kedatangan Islam lagi. Dalam masa  yang sama, ada nas yag jelas   menunjukkan Islam tidak juga bersetuju  dengan penggunaan kalimah ALLAH   bagi merujuk kepada salah satu oknum  daripada tuhan trinity.

Allah s.w.t. berfirman:

لَقَدْ   كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلَاثَةٍ  وَمَا مِنْ   إِلَهٍ إِلَّا إِلَهٌ وَاحِدٌ وَإِنْ لَمْ يَنْتَهُوا عَمَّا  يَقُولُونَ   لَيَمَسَّنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya:

Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang mengatakan: "Bahwasanya Allah salah satu (oknum) daripada yang tiga (oknum triniti)", padahal sekali-kali tidak ada tuhan selain dari Tuhan yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti    orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa siksaan yang pedih. (Surah Al-Ma’idah: 73)

Ini   suatu peringatan yang jelas dalam Islam agar orang-orang kafir    khususnya dari kalangan orang-orang Kristian agar tidak berpegang  bahawa   ALLAH adalah salah satu oknum daripada ketuhanan trinity. Ini juga menunjukkan larangan keras terhadap menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada salah satu daripada oknum tuhan trinity tersebut. Bagi mereka yang menamakan Allah sebagai salah satu daripada tiga oknum tuhan trinity adalah suatu kekufuran, adakah Islam meredhai kekufuran dengan membenarkan lafaz Allah digunakan pada salah satu daripada oknum tuhan triniti?

Imam Al-Qurtubi menafsirkan seruan Al-Qur’an yang bermaksud: “…Jika    mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu,  pasti   orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa siksaan yang  pedih.” dengan berkata:

{ وَإِن لَّمْ يَنتَهُواْ } أي يكفّوا عن القول بالتثليث ليمسنهم عذاب أليم في الدنيا والآخرة

Maksudnya: “Jika mereka tidak berhenti…)) tidak berhenti daripada berkata tentang trinity tersebut, mereka akan disiksa di dunia dan di akhirat”. [rujuk Tafsir Al-Qurtubi]

Asas-asas ajaran Islam berkenaan kalimah ALLAH ini harus diutamakan dalam berinteraksi dengan orang-orang kafir dari kalangan musyrikin dan ahlul-kitab,    apatah lagi demi menjaga maslahat umat Islam yang awam daripada tipu    daya musuh-musuh Islam yang cuba menyebarkan kesesatan aqidah mereka    kepada umat Islam.

Memang benar, ada ayat yang menceritakan bahawa Ahlul-Kitab sudah tersesat dalam menisbahkan anak kepada ALLAH, namun ianya bukan    dalam bentuk pengiktirafan terhadap konsep anak bagi Allah s.w.t. dan    menerima konsep tuhan beranak.

Allah s.w.t. menyebut:

وَقَالَتِ   الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى  الْمَسِيحُ   ابْنُ اللَّهِ ذَلِكَ قَوْلُهُمْ بِأَفْوَاهِهِمْ  يُضَاهِئُونَ قَوْلَ   الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَبْلُ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ  أَنَّى يُؤْفَكُونَ   (30) اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ  أَرْبَابًا مِنْ دُونِ   اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا  أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا   إِلَهًا وَاحِدًا لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ  سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ   (31) يُرِيدُونَ أَنْ يُطْفِئُوا نُورَ  اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى   اللَّهُ إِلَّا أَنْ يُتِمَّ نُورَهُ  وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ (32)   هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ  بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ   عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ  كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ (33)

Maksudnya:

30. Orang-orang Yahudi berkata: "Uzair itu anak Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al-Masih itu anak Allah". Demikianlah    itu ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan    orang-orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allah mereka, bagaimana   mereka sampai berpaling?

31.   Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib  mereka sebagai   tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan)  Al-Masih anak kepada   Maryam, padahal mereka hanya disuruh  menyembah Tuhan yang Esa,   tidak ada Tuhan (yang berhak disembah)  selain Dia. Maha suci  Allah  dari apa yang mereka persekutukan.

32.   Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan  mulut   (ucapan- ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain    menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang yang kafir tidak    menyukai.

33. Dialah yang telah mengutus   RasulNya (dengan membawa)  petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar   untuk dimenangkanNya atas  segala agama, walaupun orang-orang musyrikin   tidak menyukai.

[Surah At-Taubah: 30-33]

Ayat ini secara jelas menceritakan betapa Allah s.w.t. melaknat perbuatan mereka dengan menisbahkan anak kepada diri-Nya yang Maha Esa,    bahkan menjelaskan bahawa Maha Suci Allah s.w.t. daripada apa yang    mereka syirikkan. Jadi, ayat ini juga secara jelas menolak sebarang    konsep yang bercanggah dengan tauhid untuk dinisbahkan kepada Allah    s.w.t.. Maka, tidak ada sebab seseorang perlu membenarkan orang-orang    Kristian khususnya yang masih mempercayai Nabi Isa a.s. sebagai anak    Allah menamakan tuhan versi trinity mereka sebagai Allah sedangkan Allah s.w.t. menyucikan zatNya daripada penyekutuan tersebut.

Jadi,   bukan semua ayat yang menceritakan perihal sesuatu golongan  dianggap   pengiktirafan daripada Allah s.w.t. kerana ada juga  kisah-kisah yang   disebut sebagai pengingkaran terutamanya dengan  penolakan yang jelas   dalam ayat-ayat berikutnya.

Jadi, masyarakat Islam   mempunyai asas untuk melarang orang-orang  Kristian daripada menggunakan   kalimah “Allah” berdasarkan seruan asas  Al-Qur’an sendiri yang menyuruh   mereka (orang-orang Kristian) yang  sudah menisbahkan anak atau trinity bagi   Allah, agar berhenti  daripada memperkatakan sedemikian, apatah lagi   tidak membenarkan sama  sekali orang-orang Kristian yang baru ingin   menggunakan kalimah Allah  bagi merujuk kepada tuhan mereka dalam   masyarakat awam Melayu yang  tidak memahami perbezaan penggunaan Allah   dari sudut bahasa dan  istilah syarak sebagaimana difahami oleh   masyarakat awam Islam Arab.

Pendirian Islam terhadap Orang-orang Kristian Secara Umum

Allah s.w.t. berfirman dalam Al-Qur’an:

Katakanlah   (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan  Kristian), marilah   kepada satu Kalimah yang membawa persamaan antara  kami dengan kamu, iaitu  kita semua tidak menyembah melainkan  Allah, dan kita tidak  sekutukan  denganNya sesuatu jua pun; dan jangan  pula  sebahagian dari kita  mengambil akan sebahagian yang lain untuk  dijadikan  orang-orang yang  dipuja dan didewa-dewakan selain dari  Allah". Kemudian jika  mereka (Ahli Kitab itu) barpaling  (enggan menerimanya)  maka katakanlah  kepada mereka: "Saksikanlah kamu  bahawa sesungguhnya  kami adalah  orang-orang Islam". (Surah Ali Imran: 64)

Islam menjelaskan bahawasanya, agama-agama samawi seperti agama Judaisme (bagi orang-orang Yahudi) dan Kristianiti (bagi orang-orang Kristian) telah dipesongkan daripada ajaran para    rasul mereka terdahulu yang pada asalnya merupakan ajaran tauhid yang    murni juga.

Hal ini jelas dalam kitab Torah mahupun   Bible yang mereka  masih miliki kini, yang sebahagiannya sudahpun   diselewengkan daripada  ajaran tauhid. Namun, ada sedikit teks-teks dalam   kitab-kitab tersebut  menunjukkan ajaran sebenar agama-agama mereka   iaitulah konsep tauhid  itu sendiri.

Dalam Torah, kitab Exodus dan Deuteronomy yang bermaksud:

"Tidak   ada tuhan-tuhan sebelumku. Janganlah kalian jadikan  bagiKu akan   sebarang gambaran, atau menyamakanKu dengan apa yang ada  di langit, atau   di dunia, atau di dalam laut di bawah bumi: Kamu tidak  sepatutnya   tundukkan diri kamu (menyembah) kepada makhluk-makhluk  tersebut, dan   tidak pula sepatutnya kamu menyembah mereka, kerana  sesungguhnya, Aku   satu-satunya Tuhan, Tuhan kamu, merupakan Tuhan yang  cemburu" [Exodus 20:3-5  dan kitab Deuteronomy 5:7-9]

Nabi   Isa a.s. juga diriwayatkan mengajar konsep Tauhid kepada para    pengikutnya seperti yang diriwayatkan dalam buku Mark (Markus) yang    berbunyi:

"Hear, O Israel; The Lord our God is one Lord."

Yang bermaksud: "Dengarlah wahai Bani Israel: Tuhan itu, Tuhan kita, ialah Tuhan yang Maha Esa" [Mark 12:29]

Oleh yang demikian, agama Islam mengajak orang-orang Kristian khususnya yang digelar sebagai ahlul-kitab sebagai ungkapan memuliakan mereka, agar mereka kembali kepada ajaran    tauhid dengan berpegang kepada ajaran Islam samada aqidahnya, fiqhnya    mahupun akhlaknya.

Islam adalah satu-satunya agama   kebenaran. Hanya dengan mengikut  ajaran Islam yang diajarkan oleh   Saidina Rasulullah s.a.w. sahaja  seseorang mendapat kebahagiaan di dunia   dan di akhirat. Inilah suatu  fakta yang disampaikan oleh ajaran Islam   kepada seluruh umat manusia  termasuklah kepada orang-orang Kristian.

Jika   orang-orang Kristian tidak mahu menerima kebenaran Islam, maka  Islam   membenarkan mereka mengamalkan ajaran agama mereka secara bebas  selagimana  tidak membawa kepada tertegahnya perlaksanaan ajaran-ajaran agama Islam khususnya dalam negara Islam

Islam turut mengakui ketinggian moral sebahagian penganut agama Kristian dengan ayat yang berbunyi:

…dan   sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya  dengan   orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata:  "Sesungguhnya   kami ini orang Nasrani". yang demikian itu disebabkan  kerana di antara   mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat  pendeta-pendeta dan   rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka  tidak menymbongkan diri…(Surah Al-Ma’idah: 82)

Oleh   yang demikian, Islam memberi ruang terutamanya kepada  orang-orang   Kristian dan bukan Islam yang lain untuk mengamalkan  ajaran agama mereka   secara bebas. Namun, kebebasan beragama tidak  boleh membawa kepada   keterbatasan peranan agama Islam dalam sesebuah  negara yang dipimpin   oleh umat Islam itu sendiri.

Apabila berkaitan dengan   penggunaan sesuatu kalimah yang digunakan  oleh masyarakat Islam, maka   ianya bukan sekadar berkaitan penggunaan  perkataan, tetapi merangkumi   keseluruhan kefahaman terhadap perkataan  dan kalimah tersebut. Oleh   sebab itulah, isu penggunaan kalimah Allah  tidak wajar dilihat sebagai   masalah perkataan semata-mata kerana ianya  mempunyai pengaruh yang lebih   luas dalam sesebuah masyarakat. Maka,  oleh sebab itulah masyarakat   Islam berdiri mempertahankan kalimah  Allah ini, kerana merangkumi maksud   yang besar dalam kefahaman mereka  terhadap agama Islam secara   menyeluruh.

Istilah dan Pengaruhnya dalam Masyarakat

Istilah   memainkan peranan yang penting. Hal ini jelas khususnya  ketika ianya   digunakan dalam sesebuah masyarakat. Masyarakat khususnya  di Malaysia   sudah lama mengkhususnya penggunaan kalimah Allah kepada  Tuhan yang   disembah oleh orang-orang Islam sahaja. Tidak timbul suatu  tradisi   seperti orang-orang Kristian Arab yang sudah lama menggunakan  kalimah   Allah bagi merujuk salah satu oknum daripada tuhan bersifat trinity yang mereka sembah.

Jadi,   istilah-istilah yang menjadi penggunaan khusus bagi sesebuah  kumpulan   penganut sesebuah agama perlu diraikan khususnya apabila  perkongsian   istilah boleh membawa kepada fitnah yang lebih besar.  Orang-orang   Kristian di Malaysia khususnya tidak rugi jika tidak  menggunakan kalimah   “Allah” bagi merujuk kepada tuhan sembahan mereka.  Padahal, di pihak   masyarakat awam Islam di Malaysia pula, ianya boleh  membawa kepada   kekeliruan.

Sebahagian masyarakat awam mungkin membuat   andaian, jika  orang-orang Kristian pun menyembah Allah sebagaimana   orang-orang  Islam, jadi tiada bezanya orang-orang Islam beragama   Kristian kerana  menyembah tuhan yang sama. Ini adalah suatu kekeliruan   yang boleh  merosakkan aqidah sesetengah masyarakat awam Islam.

Sebagai contoh, orang-orang Kristian juga mengaku sebagai “believer”, iaitu mempercayai ketuhanan Jesus,    namun jika mereka cuba menterjemahkannya sebagai beriman lalu mengaku    mereka sebagai orang-orang beriman, maka dari ukuran Islam, mereka    adalah orang-orang yang kafir dan syirik kerana menjadikan tuhan selain    daripada Allah s.w.t..

Jadi, istilah “beriman” juga  secara  dasarnya dikhususkan kepada  orang-orang Islam dalam penggunaan   masyarakat yang tertentu. Kita juga  tidak bersetuju jika orang Kristian   mengaku sebagai Mu’min kerana beriman dengan ketuhanan Jesus dan kita juga tidak dapat menerima orang-orang Kristian mengaku sebagai Muslim kerana kepatuhan mereka kepada Paul. Oleh itu, penggunaan sesuatu istilah berdasarkan tasawwur yang    khusus bagi sesetengah pihak sangat dipentingkan. Sebahagian orang    membahaskan pengkhususan istilah bagi masyarakat Islam ini berdasarkan    pandangan sarwa Islam (Islamic worldview).

Memang   benar, kerana dalam perbahasan “penggunaan” bahasa, para  ulama’ Islam   sering membahaskan bahawa sesuatu kalimah dari sudut  penggunaan bahasa   atau dari sudut istilah syarak. Ini kerana, Tasawwur dan Mafhum kalimah berbeza dari sudut penggunaannya. Namun, tradisi sebegini tidak    difahami secara asas oleh masyarakat awam Islam di Malaysia sehingga    dapat membezakan pengunaan sesuatu kalimah samada di tempat yang salah    ataupun betul.

Jadi, larangan menggunakan kalimah Allah   bagi orang-orang Kristian  juga merujuk kepada suasana masyarakat awam   Islam di Malaysia dan  kedudukan agama Islam yang menjadi agama   Persekutuan.

Kedudukan Agama Islam dalam Malaysia

Fasal   ini sangat penting dalam rangka untuk membentuk sebuah  gambaran umum   bagi pendirian kita terhadap kalimah Allah bagi  orang-orang Kristian   ini. Ini kerana, orang-orang Islam di negara ini  mempunyai ruang   undang-undang yang jelas untuk menggubal undang-undang  demi menjaga   maslahat umat Islam itu sendiri.

Sejak   kedatangan Islam ke Alam Nusantara, terbentuknya sebuah  negara Islam   yang berteraskan sistem beraja. Zaman Kesultanan Melayu  Melaka telah   menjadi contoh kepada pembentukan sebuah empayar kerajaan  Islam dengan   menjadikan Islam sebagai dasar pemerintahan negeri  dengan menggubal   Risalat Hukum Kanun Melaka yang ditulis atas titah  Sultan Muzaffar Shah   (1446-1456 M) pada ketika itu.

Pada Fasal  41 dalam Risalat  Hukum Kanun Melaka ada menyebut  bahawasanya, selagi  ada kemungkinan  undang-undang syariat diamalkan,  maka undang-undang  lain hendaklah  dikemudiankan. [rujuk buku Menjejak Warisan Melayu Islam Beraja oleh Suzana Hj Othman, 2008, m/s 18]

Begitu   juga dengan Hukum Kanun Pahang, Undang-undang Sembilan Puluh  Sembilan   (Negeri Perak), Kanun Kelantan dan sebagainya adalah antara    undang-undang Melayu yang dikodifikasikan, meletakkan undang-undang    syariat sebagai panduan utama selain undang-undang adat. (Ibid)

Di samping itu juga, kesultanan-kesultanan Melayu di Alam Melayu juga membina hubungan baik dengan Khilafah Turki Uthmaniyyah pada ketika itu. Dengan demikian, Raja-raja Melayu sudah mula membentuk suatu Tamadun Melayu-Islam sehingga bangsa Melayu tidak lagi dapat dipisahkan daripada agama Islam.

Takrif   bangsa Melayu juga sangat berkaitan dengan agama Islam di  mana tiada   Melayu yang boleh mengaku berbangsa Melayu jika tidak  beragama Islam.   Ini bukan bererti Islam dikaitkan dengan bangsa  Melayu, tetapi bangsa   Melayu dikaitkan dengan Islam, yang akhirnya  meningkatkan martabat   bangsa Melayu itu sendiri sebagai satu-satunya  bangsa yang berteraskan   agama [secara undang-undang sehingga hari ini:  merujuk kepada Perkara   160 (2) ].

Biarpun sejarah telah berlalu, dan usaha   British dalam melenyapkan  peranan Islam daripada sistem politik di Tanah   Melayu yang kini  dikenali sebagai Malaysia sudah menjadi bahan sejarah   semata-mata,  namun mereka masih gagal melenyapkan terus kedudukan  Islam  dalam  negara Malaysia ini.

Apabila Perlembagaan   Persekutuan disusun, kedudukan Islam tetap  diletak pada tempat yang   tinggi. Jika kita rujuk dalam versi asal  Perlembagaan Malaysia [Perkara 3   (1)] dalam bahasa Inggeris secara  jelas menyatakan bahawasanya:

Islam is the religion of the Faderation”.

Maksudnya: “Islam adalah  agama Persekutuan”.

Dengan   peruntukan jelas ini, Malaysia (sebagaimana juga ajaran  Islam) tetap   mengamalkan prinsip kebebasan beragama (merujuk kepada  Perkara 3 (1)),   cuma agama-agama lain boleh dikawal daripada  disebarkan kepada   orang-orang Islam sebagaimana dalam Perkara 11 (4).

Bahkan,   mahkamah lain tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan  apa-apa   perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah berdasarkan  Perkara 121 (1A)   (Akta A704, 1988).

Begitu juga, Yang di-Pertuan Agung yang mengetuai majlis Raja-raja adalah Ketua Umum Negara bagi Persekutuan berdasarkan Perkara 32 (1). Hal ini secara tidak    langsung masih menunjukkan peranan, prinsip dan ajaran Islam perlu    diutamakan dalam perlaksaannya.

Oleh yang demikian, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini, agama Islam mempunyai keutamaan dalam berperanan dalam masyarakat awam terutamanya melibatkan maslahat umat Islam amnya.

Setelah   kita memahami kedudukan agama Islam dalam  perundangan secara asas,  maka  larangan penggunaan kalimah “Allah” bagi  orang-orang Kristian  mempunyai  dua dasar yang jelas iaitu

  • Melalui  prinsip ajaran  Islam yang menyarankan      agar  orang-orang Kristian  berhenti dari  menyebut Allah sebagai salah satu       daripada Trinity
  • Melalui kedudukan Islam dalam perlembagaan yang      menjaga kemaslahatan umat Islam khususnya dari sudut aqidah mereka.

Larangan Penggunaan Kalimah ALLAH bagi Bahan Penerbitan Kristian: Suatu Prinsip Islam dalam Memelihara Aqidah Umat Islam

Pada prinsip ajaran Islam, kita telah kemukakan sebelum ini di mana secara jelas Islam tidak mengakui konsep Trinity yang    dipegang oleh orang-orang Kristian dan menafikannya daripada sifat    kesempurnaan ALLAH s.w.t.. Ini menunjukkan betapa Islam menitik beratkan    tentang kemurnian aqidah Islam daripada kesesatan trinity tersebut. Ini secara tidak langsung juga menunjukkan betapa Islam    melarang sebarang bentuk pencemaran terhadap konsep ketuhanan ALLAH    dalam aqidah murni umat Islam termasuklah mencemarkan konsep ketauhidan    ketuhanan ALLAH dengan idea trinity.

Dalam Surah An-Nisa’ ayat ke-171 dan Surah Al-Ma’idah ayat ke-73 secara jelas menolak konsep trinity yang cuba dinisbahkan kepada ALLAH. Ini secara tidak langsung    menunjukkan Islam juga menolak sebarang usaha untuk menggunakan kalimah    ALLAH yang pada asalnya merujuk kepada TUHAN yang MAHA ESA kepada  suatu   tuhan versi trinity.

Kalimah “ALLAH” perlu   merujuk kepada Tuhan yang sama sebagaimana  yang diimani oleh orang-orang   Islam sedangkan penggunaan kalimah ALLAH  dalam kalangan orang-orang   Kristian merujuk kepada tuhan lain yang  bersifat trinity, bukan keesaan. Ini tertolak sama sekali.

Adapun   penggunaan Al-Qur’an dalam menggambarkan sesetengah pihak    mempersekutukan ALLAH dengan menjadikan tuhan-tuhan lain selain Allah    bukan menunjukkan ianya suatu galakan kepada menggunakan kalimah ALLAH    bagi agama-agama lain, tetapi ianya sebagai suatu penolakan terhadap    ajaran syirik agama-agama lain yang mana sebahagian daripadanya telah    menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada tuhan dengan konsep yang    salah, sebelum kedatangan Islam lagi, terutamanya dalam kalangan    orang-orang musyrikin Arab dan Ahlul-Kitab yang hidup di tanah Arab.

Ia   sebenarnya kembali kepada penggunaan istilah ALLAH dalam konteks   bahasa  Arab yang mana sebahagian daripada ahli ilmu bahasa Arab   mengatakan  bahawasanya ALLAH adalah kata nama daripada Illah yang   bermaksud tuhan  yang disembah sebagaimana yang diriwayatkan oleh   Al-Munziri daripada Ibi  Al-Haitham yang disebut dalam Lisan Al-Arab.   Jadi, penggunaan  kalimah “Allah” dalam bahasa Arab boleh merujuk   kepada maksud tuhan yang  disembah menurut sebahagian ahli bahasa   walaupun kata “Allah” khusus  merujuk kepada Allah s.w.t. sahaja. Namun,   dengan keluasan bahasa Arab  inilah, Ahlul-Kitab yang tinggal dalam masyarakat Arab juga menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan sembahan mereka.

Oleh   kerana itu juga, sebahagian ulama’ masih lagi memberi ruang  kepada   penggunaan kalimah ALLAH bagi orang-orang Kristian Arab  khususnya kerana   ianya secara adatnya sudah dimaklumi  secara umum   bahawasanya ALLAH yang dimaksudkan oleh orang Kristian  Arab berbeza   dengan ALLAH yang dimaksudkan oleh orang-orang Islam. Ini  kerana, salah   guna istilah “ALLAH” itu berlaku sejak sebelum  kedatangan Islam lagi di   mana orang-orang musryikin tetap turut  mengakui menyembah ALLAH dan   tuhan-tuhan lain sebagai perantaraan  antara mereka dengan ALLAH menurut   mereka.  Ahlul-Kitab di  dunia arab yang hidup dalam masyarakat   Arab tersebut sudah terbiasa  menggunakan kalimah Allah sebagai merujuk   kepada tuhan mereka walaupun  disaluti fahaman yang batil.

Maka, tasammuh (toleransi) dalam dunia Arab hanyalah kerana  latar belakang sejarah   yang sudah sekian lama malah tidak lagi membawa  kekeliruan kepada   orang-orang Islam di Arab. Ini kerana, biarpun  Islam tidak mengiktiraf   konsep ketuhanan trinity Kristian tersebut, namun tidak ada dalil qat’ie melarang orang-orang Kristian khususnya Arab yang sudah terbiasa dengan    kalimah Allah, menggunakan kalimah tersebut berdasarkan keluasan ilmu    bahasa Arab itu sendiri. Dari sinilah timbulnya toleransi dalam    masyarakat Arab dengan orang-orang Kristian Arab. Namun, dalam masa yang    sama, tidak dinafikan adanya seruan agar mereka berhenti daripada    memperkatakan bahawa Allah itu salah satu daripada tuhan trinity. Seruan yang sebegitu juga boleh dijadikan hujah bagi melarang penggunaan kalimah Allah bagi orang-orang Kristian.

Apa yang menghairankan, ada usaha pihak-pihak Kristian yang menggunakan bahasa    selain bahasa Arab dalam penulisan-penulisan mereka, sibuk juga    menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada tuhan mereka sedangkan pada dasarnya ia menyalahi prinsip Islam dan menyalahi    kepercayaan mereka sendiri kerana tuhan mereka bukanlah ALLAH    sebagaimana yang disembah oleh orang-orang Islam.

Kalau mereka pun menyembah tuhan dengan konsep ketuhanan trinity,    namun masih mengaku tuhan yang mereka sembah adalah ALLAH sebenar,   maka  mereka secara tidak langsung mendakwa berpegang kepada kalimah   bahagian  perama daripada syahadah iaitu La ilaha illaLlah (yang Tiada  tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH), kerana mereka   juga mendakwa  tidak menyembah melainkan Allah tetapi dalam bentuk   kepercayaan mereka  yang sesat (trinity). Sedangkan menurut ajaran Islam, hanya orang-orang Islam sahaja yang berpegang dengan kalimah syahadah.

Oleh   yang demikian, majoriti ulama’ Islam menegaskan bahawasanya  lafaz  ALLAH  adalah suatu nama yang khas yang tidak terbit dari  mana-mana kata   terbitan yang mana ianya suatu nama khusus bagi zat  TUHAN yang MAHA  ESA.  Konsep keesaan Tuhan itu adalah intipati utama  bagi kalimah ALLAH  itu  sendiri.

Konsep ketuhanan trinity bagi  orang-orang Kristian jelas  tidak merujuk kepada konsep tauhid yang   menjadi inti bagi konsep  ketuhanan di sebalik nama ALLAH itu sendiri.   Jadi, tidak selayaknya  kalimah ALLAH digunakan oleh orang-orang  Kristian  merujuk kepada tuhan  mereka yang tidak bersifat “keesaan”.

Kalau mereka mahu kekalkan penggunaan bahasa asal bible, samada dalam Hebrew atau Greek, maka mereka boleh memanggil tuhan mereka sebagai Elohim, El, Yahweh, Jehovah atau Ho Theos.    Mengapa perlu menggunakan kalimah “Allah” sedangkan ianya bukan    bertujuan untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab. Kalau    penterjemahan perkataan tuhan kepada bahasa Arab, maka ada ruang kepada    menterjemahkannya kepada Allah jika memilih pendapat sebahagian ahli    bahasa Arab di mana Allah itu adalah terbitan dari kata Ilah yang    bermaksud “tuhan”. Namun, jika ingin terjemahkan god kepada    bahasa Melayu, atau bahasa Inggeris, tidak pernah membawa kepada kalimah    “Allah” kerana dalam penggunaan bahasa Melayu, kalimah Allah merujuk    kepada kata nama khusus bagi Tuhan yang <span>Maha Esa</span>,    iaitulah Tuhan yang disembah oleh orang-orang Islam sahaja, kerana    konsep ketuhanan orang-orang Kristian tidak berteraskan tauhid tetapi    sebaliknya berteraskan <span>trinity</span>.   [rujuk Kamus Pelajar Edisi Kedua. Boleh didapati secara online di   http://prpm.dbp.gov.my/carian.aspx?cari=Allah&domain=PRPM ]

Larangan   penggunaan kalimah ALLAH kepada agama-agama lain  (termasuklah kepada   agama Kristian) selain agama Islam di Malaysia  adalah suatu dasar yang   menepati maqosid syar’iayyah Islam  yang menjaga agama   masyarakat Islam daripada kekeliruan itu sendiri.  Ia juga merupakan   suatu dasar yang menutup ruang fitnah yang lebih  besar. Ia juga dalam   rangka untuk mempertahankan Perkara 11 (4) yang  bertujuan menjaga aqidah   umat Islam yang awam khususnya daripada  kepercayaan-kepercayaan agama   lain.

Oleh yang demikian, pelbagai kaedah-kaedah  fiqhiyyah  yang sesuai  dirujuk dalam larangan penggunaan kalimah Allah  oleh  orang-orang bukan  Islam seperti kaedah Sad Az-Zari’ah dan sebagainya.

Kesimpulan: Asas-asas Umum Larangan Penggunaan Kalimah Allah bagi Orang-orang Kristian

Orang-orang   bukan Islam samada dari kalangan orang-orang Kristian  khususnya atau   selainnya, perlu menghormati prinsip ajaran Islam dan  maslahat umat   Islam di Malaysia khususnya berdasarkan peruntukan  Perlembagaan   Persekutuan itu sendiri.

Pedirian bahawasanya kalimah   ALLAH tidak boleh digunakan bagi  merujuk kepada konsep ketuhanan selain   daripada aqidah Islam adalah  merujuk kepada beberapa asas:

Pertama: Nas-nas daripada Al-Qur’an dan hadith  menunjukkan konsep kemurnian   aqidah Islam yang menolak sebarang  pencemaran bagi konsep ketuhanan   ALLAH s.w.t. yang berpaksikan aqidah  tauhid. Oleh yang demikian, kalimah   ALLAH yang merujuk kepada tuhan  yang berpaksikan trinity adalah menyalahi prinsip ajaran aqidah  Islam yang murni itu sendiri.   Dalil-dalil yang menolaknya adalah  seperti surah Al-Ikhlas, Surah   An-Nisa’ ayat ke-171, Surah Al-Ma’idah  ayat ke-73 dan sebagainya.

Kedua: Ia bercanggah dengan kemurnian konsep kalimah  syahadah yang menunjukkan   hanya orang-orang Islam sahaja yang  menyembah ALLAH s.w.t.. Maka,   kalaulah orang-orang Kristian pun  menyembah ALLAH dengan konsep trinity, maka mereka juga mendakwa tidak menyembah melainkan ALLAH tetapi Allah yang bersifat trinity. Ini menafikan pengkhususan kepada orang-orang Islam dalam berpegang dengan kalimah syahadah (La ilaha illaLlah). Maka, ia suatu yang tertolak dari sudut kemurnian kalimah syahadah ajaran Islam itu sendiri.

Ketiga: Ia boleh membawa kepada kekeliruan kepada  masyarakat awam Islam   khususnya di Malaysia. Ia boleh menimbulkan  prasangka seolah-olah tuhan   yang disembah oleh orang-orang Kristian  adalah sama dengan Tuhan yang   disembah oleh orang-orang Islam. Ini  membuka pintu kepada murtad yang   dicela oleh Islam itu sendiri.  Berdasarkan peruntukan Perkara 11 (4),   adalah wajar larangan kalimah  ALLAH digunakan bagi orang-orang kafir   atau bukan Islam. Ia demi  menjaga maslahat umat Islam itu sendiri.

Daripada sinilah, ada kaedah-kaedah tertentu dalam qawa’id fiqhiyyah untuk mencegah kemudaratan yang lebih besar dan fitnah yang lebih    bahaya dalam masyarakat Islam, maka larangan menggunakan kalimah Allah    kepada orang-orang Kristian di Malaysia khususnya boleh digunakan.

Keempat: Orang-orang Krisitian di Malaysia khususnya  juga tidak mempunyai sebab   yang kuat untuk menggunakan kalimah ALLAH  bagi merujuk kepada tuhan   mereka kerana penggunaan istilah ALLAH di  Malaysia (penggunaannya secara   adat) khusus merujuk kepada Tuhan  orang-orang Islam sahaja. Malah,   mereka (orang-orang Kristian) juga  tidak menulis tulisan mereka dalam   bahasa Arab sehingga perlu  menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk   perkataan tuhan atau god. Mengapa mereka tidak menggunakan perkataan tuhan, god, elohim (bahasa Ibrani), yahweh dan sebagainya yang sering digunakan oleh mereka sebelum ini.

Kelima: Larangan penggunaan kalimah ALLAH bagi  orang-orang bukan Islam bagi   merujuk kepada tuhan-tuhan mereka adalah  suatu yang wajar di Malaysia   khususnya, kerana Malaysia adalah negara  yang beragama Islam sedangkan Islam menolak konsep  pencemaran terhadap kemurnian aqidah   Islam termasuklah penggunaan  kalimah ALLAH bagi orang-orang bukan Islam.   Berdasarkan Perlembagaan  Persekutuan [Perkara 3 (1) dan Perkara 11   (4)], pendirian larangan  tersebut adalah wajar kerana prinsip ajaran   Islam tidak boleh dihalang  oleh kebebasan beragama dengan agama-agama   lain. Sebarang usaha atau  amalan oleh penganut-penganut agama lain yang   boleh membawa kepada  mencemarkan prinsip dan roh agama Islam adalah   ditolak kerana konsep  kebebasan itu sendiri tidak boleh menjangkau   kepada hak-hak pihak  lain. Adapun penggunaan kalimah ALLAH bagi   orang-orang bukan Islam  dalam penulisan dan penerbitan khususnya, sudah   menjangkau daripada  sempadannya kerana ianya mencemarkan kemurnian   ajaran agama Islam yang  merupakan agama Persekutuan dalam konteks di Malaysia.

Orang-orang   Kristian khususnya, jika sememangnya berpegang teguh  dengan ajaran   mereka, pasti mereka akan menghormati kedudukan tinggi  agama Islam di   negara ini serta kedudukan Raja-raja dan Yang  di-Pertuan Agung sebagai   Ketua Umum Negara dan Ketua Agama dan  menghormati larangan penggunaan   kalimah ALLAH yang mana ianya  berteraskan ajaran Islam yang merupakan agama Persekutuan dan agama bagi Ketua Umum Negara.

Dalam surat Paul kepada orang-orang Rom (iaitu Romans:   13)  menceritakan tentang suruhan agar orang-orang Kristian khususnya    mentaati raja-raja yang memerintah di sesuatu tempat tersebut. Maka,    sekiranya larangan menggunakan kalimah Allah bagi orang-orang Kristian    digubal, maka mereka perlu menerimanya.

Oleh yang   demikian, dari sudut menjamin kesejahteraan dan  keharmonian masyarakat   di Malaysia secara umumnya sahaja, larangan  penggunaan kalimah Allah   kepada orang-orang Kristian dan bukan Islam  adalah suatu yang praktikal.   Umat Islam di Malaysia yang mempunyai  banyak ruang kelemahan dari  sudut  pendidikan agama dan sebagainya,  seharusnya tidak terdedah kepada   kekeliruan yang lebih besar seperti  berkongsi nama tuhan yang sama   dengan penganut agama lain.

Apatah lagi, setelah dinilai secara dasarnya, Islam sememangnya menyeru ke arah tidak menisbahkan kesyirikan, trinity,    anak dan sebagainya kepada “Allah” yang Maha Esa. Allah s.w.t.  sendiri   menyucikan zatNya dan sifat-sifatNya daripada  perkataan-perkataan   seperti konsep trinity dan sebagainya  yang menyeleweng   tersebut. Jadi, dasar dan prisinp asas Islam secara  umum sememangnya   membawa kepada tidak memberi ruang untuk menisbahkan  konsep ketuhanan   yang salah kepada Allah s.w.t.. Ini juga memberi  makna bahawa tidak   boleh menamakan sesuatu tuhan yang berteraskan  konsep ketuhanan yang   salah dengan nama “Allah” yang merujuk kepada  Tuhan yang Maha Esa lagi   Maha Benar.

Kita melihat pengecualian atau toleransi  para  ulama’ Islam di dalam  masyarakat Arab khususnya terhadap penganut  agama  Kristian Arab  kerana mereka sudah biasa menggunakan kalimah  “Allah” bagi  merujuk  kepada “Al-Ilah” atau “Tuhan”. Namun, penggunaan  itu tidak  berlaku  samada dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu.  Jadi, secara  tidak  langsung, toleransi terhadap penggunaan kalimah  Allah kepada   orang-orang Kristian dalam masyarakat Melayu di Malaysia  khususnya  boleh  menimbulkan kesamaran.

Bahkan,  membenarkan orang-orang  Kristian menggunakan kalimah Allah  bagi merujuk  kepada tuhan sembahan  mereka merupakan antara hambatan  dalam “dakwah islamiyyah”   kerana mereka (orang-orang  Kristian) secara asasnya sudah mengganggap   mereka menyembah Allah  sebagaimana orang-orang Islam menyembah Allah,   tetapi mereka memahami  Allah dengan kefahaman yang lebih. Jadi, dengan   alasan mereka sudah  menyembah Allah, maka mereka tidak perlu lagi   menganut agama Islam  kerana beza antara orang-orang Islam dengan   orang-orang Kristian di  sisi mereka adalah, orang-orang Islam mengikut   Nabi Muhammad s.a.w.  sedangkan orang-orang Kristian mengikut Nabi Isa   a.s.. Inilah alasan  mereka yang cuba dijelaskan kepada masyarakat awam   Islam khususnya,  bahawasanya agama mereka juga adalah agama kebenaran.

Oleh   sebab itulah, secara prinsipnya, masyarakat Islam sewajarnya  tidak   meredhai orang-orang Kristian menggunakan kalimah Allah bagi  merujuk   kepada tuhan mereka kerana tuhan mereka tidak bersifat keesaan  tetapi   sebaliknya bersifat trinity. Di sisi mereka, orang-orang Kristian cuba membuktikan bahawasanya konsep trinity adalah tauhid (atau monotheism).    Maka, sebab itulah mereka juga mahu menggunakan kalimah Allah bagi    tuhan mereka agar masyarakat Islam awam khususnya faham, mereka juga    menyembah tuhan yang Maha Esa tetapi dalam bentuk trinity.    Jadi, masyarakat Islam wajar untuk tidak membenarkan mereka menggunakan    kalimah “Allah” dengan maksud “Tuhan yang Maha Esa” kerana menolak    konsep trinity dalam ketuhanan mereka sebagai konsep tauhid.

Jadi,   disebabkan penggunaan kalimah “Allah” dalam bahasa Melayu  atau dalam   penggunaan umum masyarakat di Malaysia merujuk kepada “Tuhan yang Maha Esa”    (sebagaimana disebutkan dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua), maka tidak    wajar orang-orang Kristian dibenarkan menggunakan kalimah tersebut  bagi   merujuk kepada tuhan trinity mereka, kerana Islam sama sekali tidak mengiktiraf konsep trinity tersebut sebagai konsep tauhid.

Di   samping beberapa sudut lain seperti keharmonian aqidah umat  Islam dan   sebagainya, maka pendirian yang melarang penggunaan kalimah  Allah bagi   orang-orang Kristian khususnya dan bagi orang-orang bukan  Islam amnya,   adalah suatu pendirian yang tepat dan kukuh khususnya di  Malaysia.   Mudah-mudahan ianya dapat membantu dalam menjaga aqidah umat  Islam yang   semakin terdedah kepada pelbagai serangan fahaman yang  sesat samada  dari  dalam mahupun luar. Amiin…

Wallahu a’lam

No comments:

Post a Comment